Program Pembersihan Pantai Pusaka Nusantara

Pusaka Nusantara Sdn. Bhd. (PNSB) telah berjaya menganjurkan Program Pembersihan Pantai Bagan Lalang sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan organisasi dalam memperkasa pemuliharaan alam sekitar, memupuk budaya kesukarelawanan serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan kawasan pesisir pantai.

Program yang dilaksanakan ini telah menghimpunkan seramai 169 sukarelawan PNSB dengan kerjasama strategik Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) seramai 20 orang bersama-sama turut menjayakan aktiviti pembersihan pantai dan kawasan sekitarnya demi mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, sihat dan lestari.

PNSB amat berbesar hati menerima kehadiran dan sokongan daripada pihak LUAS yang diketuai oleh Tn. Hj. Haizam Irwan bin Toha, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan LUAS, bersama En. Mohd Tahir bin Ab. Talib, Ketua Unit Pengurusan Sumber Manusia dan Integriti, serta Puan Harnani Binti Shaharuddin, Jurutera LUAS.

Turut hadir mewakili PNSB ialah YBrs Puan Saidah Aman, Pengarah Urusan Pusaka Nusantara Sdn. Bhd, En. Badrul Hisham bin Mohd Razali, Pengarah Pusaka Nusantara Sdn. Bhd, Puan Qhatijah Said , Pengurus Program Komuniti dan Alam Sekitar serta barisan kepimpinan dan sukarelawan PNSB yang telah memberikan komitmen dan sokongan penuh sepanjang pelaksanaan program.

Program ini berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dalam satu platform yang menyatukan semangat kerjasama, tanggungjawab sosial dan kecintaan terhadap alam sekitar. Hasil usaha bersama para peserta, sejumlah besar sisa buangan berjaya dikumpulkan dan dilupuskan dengan sewajarnya, dengan jumlah keseluruhan kutipan sampah direkodkan sebanyak 85.15 kilogram di kawasan Pantai Bagan Lalang.

Pihak PNSB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) atas kerjasama erat, komitmen dan sokongan yang diberikan dalam menjayakan program ini serta penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh 189 orang sukarelawan daripada semua pihak yang telah menyumbangkan masa, tenaga dan komitmen dalam menjayakan program ini.

Semoga jalinan kerjasama strategik antara PNSB dan LUAS akan terus diperkukuhkan pada masa hadapan dalam usaha memelihara warisan alam, memperkasa komuniti dan menyokong agenda pembangunan lestari negara.

🌿 Memelihara Warisan, Merahmati Alam

PUSAKA NUSANTARA SDN. BHD.
#PusakaNusantara
#PNSB
#LUAS
#ProgramPembersihanPantai
#BaganLalang
#SukarelawanPNSB
#KomunitiDanAlamSekitar
#KelestarianAlam
#MemeliharaWarisanMerahmatiAlam
#VolunteerPNSB

Video Rasmi Program

Sokongan Agensi

Sokongan & Kerjasama Strategik

Jaringan Kami

Rakan Strategik

Batik Songket Keturah
Nusa Enrichment Centre
Rakan kolaborasi Pusaka Nusantara
Katering Keturah